Pages

Thursday, September 8, 2011

Suka atau Tidak?

Mengapa aku pergi ke sana walaupun hati ini berat membisikkan supaya berpatah balik,
Aku tidak bersedia lagi untuk menghadapi saat itu,
Kenangan itu menjelma kembali di ingatan,
Kelu lidah untuk berkata-kata tika berada di situ,
Terasa bagaikan ingin lari dan bersembunyi sahaja,
Namun aku perlu berlagak seperti tiada apa yang berlaku,
Wahlal dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu,
Aku perlu kuat dan tabah dalam menghadapinya,
Pagi nan hening bertemu kembali,
Namun lidah masih kelu untuk berkata-kata,
Rencana Allah tiada siapa yang tahu,
Tidak mustahil pada hari akan datang bertemu kembali,
Hanya Allah yang mengetahui segalanya,
Aku terima semuanya Ya Allah……..

Aidilfitri 1432H

Rasanya tidak terlambat lagi untuk menghulurkan salam Aidilfitri beserta dengan maaf zahir batin kepada semua. Ampun maaf atas segala salah dan silap. Alhamdulillah seperti tahun-tahun sebelumnya saya bersama keluarga mendapat peluang untuk menyambut kedatangan 1 Syawal di tanah tumpah kelahiran kami iaitu di Kelantan. Menjadi satu kemestian untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri kerana sambutan 1 Syawal di Seremban amat berlainan dan tidak semeriah berbanding di kampung. Kami telah bertolak pulang ke kampung di Pasir Mas pada 27 September 2011 pukul 4.30 pagi selepas sahur. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 8 jam untuk tiba di destinasi bertambah kepada 12 jam disebabkan kesesakan lalu lintas. Kami sekeluarga sampai di rumah Tok Ayah pada pukul 9 malam setelah singgah di Kuala Krai selama 3-4 jam untuk menyelesaikan beberapa urusan. Satu perjalanan yang memenatkan walaupun saya hanya penumpang yang hanya tidur di belakang.
Pada hari terakhir Ramadhan, saya bersama ahli keluarga menziarahi Tok Uda di Bachok yang sakit tenat pada awal Ramadhan yang lalu. Namun ketika entri ini ditulis Tok Uda telah menghembuskan nafas yang terakhir pada tengah hari 7 September. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin…
Aidilfitri pada kali ini disambut dengan sederhana seperti tahun-tahun sebelumnya. Bagi saya semakin meningkat usia dari tahun ke tahun kemeriahan untuk menyambut juga semakin pudar. Mungkin disebabkan factor keletihan ataupun factor-faktor persekitaran menjadikan perasaan saya  sebegitu. Apapun yang amat saya sukai adalah sesi ziarah menziarahi sanak saudara di serata kampung membuatkan sambutan menjadi meriah. Pada ketika inilah penting kerana dapat mengenali sanak saudara yang hanya berjumpa setahun sekali sahaja sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim. Ditambah pula dengan pemberian duit raya. Besar-besar pun dapat lagi duit lgi duit raya. Apapun pemberian orang kita seharusnya menerima dengan senang hati. Terima kasih semua pemberi duit raya.
Beramai-ramai berjalan kaki 
Budaya ziarah menziarahi diteruskan pada pagi hari raya kedua ke kampung abah. Kami hanya singgah sebentar kerana Mok ada urusan di tempat lain menghadiri tahlil. Apapun walau sebentar Cuma sudah mencukupi untuk melepaskan rindu. Namun agak terkilan kerana tidak sempat menziarahi pusara arwah Che dan Che Abah disebabkan hujan lebat. Abah berpesan kepada kami semua supaya menghadiahkan alfatihah dari jauh memandangkan kami tidak dapat ke pusara mereka. Alfatihah…
Di Kuala Krai kami hanya sempat beraya di rumah Mok Yoh, Pok Nik dan Tok Mek. Namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan mereka semua. Alhamdulillah.
Kami pulang semula ke Seremban pada 3 September memakan masa selama 12 jam seperti biasa disebabkan kesesakan lalu lintas. Terlintas juga di fikiran saya betapa ramainya rakyat-rakyat dari Kelantan mencari rezeki di negeri-negeri lain. Kami seperti berkonvoi ramai-ramai untuk pulang ke rumah masing-masing. Kesesakan ini memang merupakan pemandangan biasa apabila tiba musim perayaan. Apabila berhenti di masjid ataupun stesen minyak dapat melihat muka-muka keletihan para pemandu kereta dan juga penumpangnya. Apapun pandu cermat jiwa selamat.
Berbaki cuti yang hanya ada seminggu sahaja lagi, setiap malam ada sahaja jemputan ke rumah jiran-jiran ke open house mereka. Saya memang suka menghadirinya. Selain mendapat duit raya, makanan yang dihidangkan juga memang memenuhi selera saya. Apapun beringat masa makan. Jangan makan banyak sangat.
Saya percaya kemeriahan Aidilfitri ini akan disambut sehingga 30 Syawal. Namun dalam kemeriahan menyambut syawal ini kita haruslah menyambutnya dalam kesederhanaan. Elakkan membazir dan kenangilah saudara-saudara kita yang menghadapi masalah kebuluran di Somalia. Selain itu, yang penting teruskanlah istiqamah dalam beribadat walaupun bulan yang penuh berkat Ramadhan telah berlalu. Salam Syawal buat semua….