Pages

Sunday, April 8, 2012

Belarok

Pada cuti semester yang lepas saya dan keluarga berpeluang mengikuti rombongan perkahwinan saudara kami. Majlis pernikahan dilangsungkan pada 30 Mac 2012 tapi kami menghadiri majlis persandingan pada 31 Mac. Pada mulanya kami sekeluarga keberatan untuk pergi tapi melihatkan kesungguhan pak cik saya yang beria-ria mengajak kami akhirnya setuju mengikuti rombongan. Katanya wakil belah ayah pengantin lelaki memandangkan kami tinggal berhampiran. Majlis dijadualkan bermula pada pukul 2.30 petang. Tetapi memandangkan ayah saya tidak pernah ke Kluang, Johor, kami bertolak pagi-pagi lagi dari Seremban. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah persinggahan awal, 10.30 pagi dan memandangkan majlis lama lagi untuk bermula kami mengambil keputusan berjalan-jalan di sekitar Bandar Kluang. Tempat pertama yang dituju oleh ayah saya semestinya stesen keretapi. Katanya tidak sah jika tidak singgah sebentar kerana katanya mungkin dia akan bertemu dengan kenalannya yang pernah berkerja bersama. Tapi Allah telah menetapkan yang kami tidak bertemu dengan sesiapa yang dikenali. Sudahnya kami merakamkan beberapa gambar kenangan sekitar stesen.



Akhirnya setelah penat berjalan kami pulang kembali ke rumah persinggahan. Tiba tepat pada masanya rombongan pengantin lelaki beramai-ramai ke rumah pengantin perempuan dengan disertai dengan paluan kompang. Orang Kelantan kata ‘belarok. Benar la kata orang apabila pengantin perempuan dari Johor maka bersiap sedialah wahai pengantin lelaki dengan duit tol. Seingat saya dalam 6 atau 7 tol perlu dilepasi sebelum pengantin lelaki dibenarkan masuk ke dalam rumah. Siap dengan bersilat semua. Memang sesuatu yang baru. Majlis ini berlangsung di Felda Bukit Tongkat. Melihatkan kepada majlis keluarga pengantin perempuan mengikut adat tempatan mereka. Ada dikalangan ahli rombongan pengantin lelaki terkejut melihatnya. Lain tempat lain adatnya. Semestinya kami dijamu dengan hidangan di meja pengantin yang agak sedap. Alhamdulillah.


Sebelum pulang ke Seremban kami singgah di Ayer Hitam. Alang-alang sudah dekat. Tidak banyak pun barang yang dibeli. Tapi yang pastinya semua berpuas hati. Malam itu kami selamat tiba di rumah pada pukul 9.00 malam. Memang penat tapi saya dapat belajar banyak perkara melalui perjalanan pada hari itu.
Kepada pasangan pengantin baru: Along dan Kak Amalia, selamat menempuhi fasa hidup yang baru. Semoga rumah tangga yang dibina akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Insyaallah.

0 comments:

Post a Comment