Pages

Wednesday, August 3, 2011

Zoom Penang 2011: Hari Kelima dan Keenam




Setelah empat hari berturut-turut berada di kawasan tanah besar akhirnya pada pagi hari kelima nan hening lagi medamaikan kami bertolak ke belah pulau untuk aktiviti yang telah dirancang. Kami ke sana menaiki bas Ustaz Roslan yang telah disewa khas oleh Program Manager kami untuk seharian berada di pulau.  Apa yang menariknya sepanjang perjalanan kami ke destinasi yang dituju kami didengarkan tazkirah oleh pemandu bas itu sendiri. Satu pengalaman baru bagi kami semua. Tetapi tidak saya pasti kawan-kawan yang lain mendengar atau melayan hal sendiri. Bagi saya sendiri ada masanya saya terlelap.


Pemandangan di atas Jambatan Pulau Pinang
Aktiviti pertama di pulau ialah lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bertempat di hadapan Padang Kota. Satu lagi pengalaman baru. Pertama kali memasuki dewan yang khas untuk wakil rakyat membahaskan isu-isu rakyat. Saya berasa bertuah kerana diberi peluang masuk sendiri ke dalam dewan dan mendengar taklimat serba ringkas mengenai struktur DUN itu sendiri dan mengenai negeri Pulau Pinang. Sesi ini berakhir pada waktu makan tengah hari setelah sesi soal jawab yang agak hangat berakhir. Kami menikmati makan tengah hari bersama speaker DUN dan beberapa orang pegawai pengiring.

Persis wartawan bertugas membuat liputan
Bergambar kenangan bersama speaker DUN

Pada sebelah petangnya perjalanan diteruskan ke Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Seperti sedia maklum CAP adalah salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan nasib pengguna. Disini kami diberi taklimat serba ringkas mengenai CAP itu sendiri. Tetapi yang menariknya taklimat yang diberi mengandungi isu-isu yang agak sensitif dan tidak sepatutnya dibincangkan bersama kami yang majoriti bukan mengambil jurusan undang-undang dan sains politik. Walau apapun sedikit sebanyak membuka mata para peserta dengan info dan maklumat yang dikemukakan.


Khusyuk mendengar taklimat
Tempat seterusnya yang dilawati adalah Rumah Kelahiran P. Ramlee. Disini kami dapat melihat pelbagai info dan maklumat berkaitan seniman Negara itu. Terdapat pelbagai barangan peribadi P. Ramlee yang dipamerkan di rumah dan juga di arkib.

Rumah Kelahiran P. Ramlee

Pada malam itu kami makan malam di restoran yang telah ditempah khas di Kg. Sg. Ara, Bayan Lepas. Mengikut perancangan asal kami sepatutnya makan malam bertemankan angin laut di Padang Kota tapi dibatalkan di saat-saat akhir. Sebenarnya sangat mengecewakan kerana tidak diberitahu awal-awal. Tapi sedap juga makanan di restoran tempat kami makan. 


Sempat lagi bergambar masa makan
Hari terakhir telah tiba namun tentatif kami padat lagi dengan aktiviti. Hari terakhir dimulakan dengan Program Inspiration to be Smart untuk adik-adik yang bakal manghadapi UPSR dari Sekolah Kebangsaan Juara. Disini para fasilitator perlu membimbing adik-adik menjawab soalan essay bahagian C kertas Bahasa Inggeris dan juga kertas 2 karangan Bahasa Melayu. Disamping itu elemen motivasi turut disuntik untuk adik-adik sebagai persediaan menghadapi UPSR. Semoga adik-adik dapat menggunakan tips-tips yang telah diberikan oleh kakak atau abang fasi masing-masing. 

Sesi perkenalan fasilitator
Adik-adik kumpulan saya
Adik-adik kumpulan saya
Aktiviti terakhir di Kg. Cherok To’kun adalah lawatan ke Gereja St. Anne. Gereja ini merupakan gereja terbesar di Asia. Memang sangat besar apabila kami dibawa melawat kawasan sekitar gereja. Kami diberi taklimat serba ringkas mengenai sejarah St. Anne itu sendiri dan aktiviti keagamaan yang dijalankan. Satu pengalaman baru dan ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam gereja. Saya kurang berasa teruja kerana pada asalnya mak dan ayah angkat saya tidak menggalakkan kami melawat ke gereja ini. Namun setelah diberitahu tujuan sebenar mereka memahami. 

Mendaki ke kawasan keagamaan

Keletihan ketika sesi soal jawab berlangsung

Tangga yang curam dituruni
Program Zoom Penang disudahi dengan majlis penutup pada malamnya. Anak-anak angkat memberi cenderahati kepada mak dan ayah angkat masing-masing. Sangat sedih dan terharu pada waktu ini yang merupakan saat-saat perpisahan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itu pasti. Semoga ikatan yang terbina bersama keluarga angkat masing-masing kekal dan sentiasa berhubung agar ikatan sentiasa ada dan bertambah erat. Terima kasih mak. Terima kasih ayah. Terima kasih tok. Terima kasih si kecil Ubai. Terima kasih umi. Halalkan makan minum kami berdua sepanjang berada di rumah tok. Maafkan segala silap salah kami. Kami berasa amat bertuah kerana dikurniakan keluarga ini. Alhamdulillah dan semoga ikatan kita berkekalan. Semoga berjumpa lagi. Insyaallah.

Merakam kenangan bersama tok dan si kecil Ubai
Sesi penyerahan cenderahati
Sepanjang program ini berlangsung banyak perkara dan pengalaman baru yang dipelajari. Semuanya berkat kerjasama semua peserta. Walaupun ada sedikit isu panas yang timbul selepas program tetapi dengan adanya perbincangan antara dua pihak semuanya dapat diselesaikan. Terima kasih kawan-kawan. Kamu semua memang best! Maafkan segala kekurangan yang ada dan minta maaf kepada sesiapa yang terasa apabila saya campur tangan berkaitan dengan bukan tugas saya. Dan bagi biro saya sendiri minta maaf banyak-banyak atas kekurangan kami. Mungkin kami tidak perasan dan tidak memahami dengan sejelasnya mengenai job scope kami. Terima kasih kepada pihak MRC Sumayyah yang sudi mengambil saya sebagai salah seorang peserta program kali ini. Saya berharap agar dapat menyertai program seumpama ini pada masa akan datang. 


2 comments:

Anonymous said...

best nyer..wa dpt mak angkat tu..jelez2

tiNtA dAri hAti said...

jgn jeles ye...da ajak zritu ko yg xnk ikut...hehehe...

Post a Comment